Saturday 28 April 2012

PETUA MENGHILANGKAN SUARA SERAK


Saya rasa saya adalah di kalangan mereka yang sungguh bertuah kerana di sepanjang kehidupan saya ini, banyak pengalaman yang agak lain dari yang lain dapat saya alami.  Antaranya ialah bertugas sebagai seorang penyiar radio selama hampir 4 tahun.  Terkenang kembali pada tahun 2004, saya di tahun pertama menjadi penyiar dalam satu segmen dipanggil Suara FELDA Ke Udara yang disiarkan di radio IKIM.fm. 
Ingat sangat saya akan tarikh itu, 10 Oktober 2004, hari Ahad.  Saya  bertugas  secara ‘double banking’ dengan sahabat baik saya, Rahana Hashim dari jam 5.00 hingga 6.00 petang dan kerana telah beberapa hari mengalami batuk, suara saya macam penyanyi rock, SERAK!!!!!   Ini pertama kali dalam siaran dimana kami meminta maklum balas dari pendengar melalui SMS, mengenai pandangan mereka terhadap siaran kami.  Masa itu tiada talian free-toll lagi.  Promo di buat dan nombor telefon bimbit saya diberikan untuk kami terima respon pendengar.  
Agak mengejutkan, 10 minit selepas promo dibuat, kami terus terima satu demi satu SMS, bukan memberipandangan tentag siaran kami tapi memberi petua bagaimana menghilangkan suara yang serak.... kelakar ada, terharu pun ada, gembira sudah tentu sebab siaran kami dapat respon...... Oleh tu, diperturunkan antara petua-petua yang diberikan. Hampir 60 SMS kami terima tetapi ada yang sama petuanya, jadi kami telah rumuskan seperti di bawah, betul-betul dalam bentuk SMS yang kami terima masa itu bersama pengirimnya (jika ada). 
                                                                                                                                                                         
*       Assalamualaikum Kak Liza,  Kak Liza cuba amalkan minum air asam jawa pekat sikit dan air suam-suam   Saya pernah cuba, masa nak bertanding tilawah  ( 721665 LU Norafiszal Sabuan, First Line Bhg. Kejuruteraan Pesawat No 7, SKN Pangkalan Udara Kuching, 93677 Kuching Sarawak)

*      Assalamualaikum Akak Norliza, Akak try minum air asam jawa … air tu elok untuk orang sakit tekak n suara serak cam akak …. Wassalam  (Nik Mariam Nik Ab. Rahman, 4262-B, Jalan Kebun Sultan, 15350  Kota Baharu, Kelantan.)

*       Liza boleh minum air + madu & limau –  (Norizah Abd. Aziz, B-4-14, Block LC2B, Flat Sri Manja, Taman Sri Manja, 46000 Petaling Jaya)

*       Petua serak – minum sesudu madu 3-4 kali sehari – Dr Kudin  (Khairuddin b. Bakar,  No 65 Jalan Cerdik 3, Taman Universiti 43000 Kajang Selangor D.E.)
*      K.Liza makan kuning telur ayam kampung d + madu lebah.  Atau minum air limau nipis suam setiap hari.  (Ahmad Al Fateh, Lot 3059 A, Kg. Sg. Penchala, Jalan Damansara 60000 K.L.)

*      Balik ke rumah kalau ada nasi ambillah satu cawan letak air kemudian embunkan malam ini esok pagi-pagi. Makan lah.  Insya Allah berkat izin Allah baik. (Tiada nama dan alamat pengirim)

*      Assalamualaikum, saya syorkan minum air asam jawa – tu je petua yang bagus (Mohd. Adib Yahya, R319 Desa siswa Nurani, Universiti Sains Malaysia 16150 Kubang Kerian Kelantan)

*      Petua sakit tekak, minum air asam jawa. Atau kumur dengan air garam campur gula batu.  Atau gi jumpa doktor (Tiada nama dan alamat pengirim)

*      Gi kedai farmasi beli difflam lozenges dan difflam gargle.  Hisap loz 1 biji tiap 4 jam., guna gargle tiap 8 jam.  Beli procef 500mg, makan 1 biji tiap 12 jam. (Suhaime Hj. Ali, Nilai Cancer Institute, PT 1317, Jln BBN 2/1, 71800 Nilai, Negeri Sembilan.)

*       Minum air rebusan bungan raya (Tiada nama dan alamat pengirim)

*      Minum air garam suam dengan membaca 7 surah Al-Fatihah, setiap kali baca, masukkan i biji garam kasar yg. kecil    (Juriah Ismail PJ, 13, Jalan SS 1/43, Kampung Tunku, 47300 Petaling Jaya)

*      Amalkan minum air suam dan air asam dan baca Al-Fatihah Insya Allah Jangan makan air batu dan tidak makan berminyak  (Ustaz Mohd. Ali Khanafiah, 54 Jalan Kurniawati, Kg. Kurnia 80250, Johor Bahru)

*      Assalamualaikum Kak,saya syorkan kak minum air asam jawa pekat.  Selain itu kak jangan minum minuman berair ya. Ingat, ok bye-bye semoga cepat sembuh  (Naimah binti Elias, 5140 Kampung Teluk Menara Manir, 21200 Kuala Terengganu, Terengganu Darul Iman)

*       Assalamualaikum ... Ini adalah petua mak saya.  Jika diamalkan minum air barli Insya Allah, dapat memulihkan suara yang serak akibat batuk.  Air barli dapat menyejukkan badan Jadi haba panas di kerongkong dapat pulih dengan cepat. (Dari : Lyanti Jaafar, No 1 Jalan Dengkis 17/42. Sec. 17 40200 Shah Alam., Selangor.)

*      Assalamualaikum Kak Liza.. amalkan minum air suam setiap kali bangun tidur.  Selamat mencuba (Azmi Selamat(Amirul), No 38 Jln17/43, Seksyen 17, Petaling Jaya, 46100 Selangor D.E.)

*      Minum air asam jawa ... Amalkan ... Kak Kat rumah kan ada.  Kenapalah tak di royat.  KB Kelantan  (Rofie Mohamed Da Abu Bakar Junuh, Kg. Kedai Ahad, Gunung, 16090, Bachok Kelantan)

*      Assalamualaikum ... serak tu tak susah.  Senang je. Ambik air limau nipis + kicap je dan minum @ nasi semalam direndam semalaman + gula batu di makan esok paginya.  Insya Allah.  (Ishak Md. Isa, Kg. Teluk Malek 06000, Jitra Kedah)

*      Assalamualaikum.  Istighfar 3 kali, baca Al-Fatihah, selawat Syifa’ 3x, hembuskan pada air, seterusnya bancuhkan dgn asam jawa dan minum.  Insya Allah yakin pada Nya. (Puan Ida Hayyu Mohd. Zahidi, No. 7 Jln 4/4, Bandar Rinching, 43500 Semenyih, Selangor)

*        Kak Norliza, kata orang tua2, minum air sejuk di campur dgn ketul ais.  Jangan risau, amalkan sekerap mungkin dalam sehari.  Petua kedua minum air asam jawa ais.  Ati, KL. (Suriati Shahar, Blok C9, 407 Seksyen 1, Bandar Wangsa maju 53300 Kuala Lumpur)

Semoga kepada yang membaca blog ini dan mengalami masalah kesihatan yang sama, boleh juga memanfaatkan petua-petua yang diberikan. SELAMAT MENCUBA!!!!!!

Friday 27 April 2012

Baucer Buku 1 Malaysia Pro dan Kontranya


Tahun 2012 datang bersama satu hadiah kepada pelajar-pelajar tak kira pelajar sekolah atau institusi pengajian tinggi. Pemimpin Negara telah mengemumkan pemberian “Baucer Buku 1 Malaysia” kepada semua pelajar di Malaysia.  Banyak  pendapat mengenai pemberian ini daripada pelajar-pelajar IPT/ STPM dan juga dari mereka-mereka yang prihatin tentang isu ini sampai diperbincang dalam pelbagai forum dan sebagainya. Ada yang pro dan ada yang kontra.

Sudah terkenal pelajar-pelajar Malaysia dengan sikap kurang minat membaca. Pada fikiran mereka, perkataan ‘membaca’ hanyalah sesuai untuk buku-buku teks.  Itupun kerana terpaksa.  Di sinilah menjawab kenapa para pelajar menjual baucer kerana semester sudah berakhir atau sudah di tahun akhir atau macam-mcam lagi sebab. Buku apa lagi mahu dibeli kata mereka. Bagi mereka buku hanyalah buku teks. Sedangkan berlambak lagi buku-buku lain selain buku teks yang ada tersusun di atas rak kedai buku.

Selain buku teks, buku-buku rujukan juga sebenarnya berguna kepada pelajar untuk meluaskan pemahaman pelajar dalam bidang yang dipelajari. Pelajar sastera, belilah buku-buku sajak, antalogi cerpen dan novel sastera oleh sasterawan-saterawan negara. Pelajar kejuruteraan pula belilah buku-buku yang berkaitan dengan teknologi masing-masing. Apa salahnya setelah menguasai pengaturcaraan C dan C++, kuasai pula pengaturcaraan Java dan sebagainya. Apa salahnya sudah memahami asas kejuruteraan komunikasi, dalami pula teknologi-teknologi komunikasi terkini. Begitu juga dengan bidang-bidang lain. Bukankah ianya akan memberi nilai tambah (added value) kepada diri pelajar itu sendiri.

Buku-buku agama. Buku-buku begini sangat baik untuk pelajar-pelajar menjadi pelajar berjaya dunia akirat. Carilah buku-buku tentang kelebihan-kelebihan amal seperti solat, zikir dan puasa. Cari juga buku-buku tentang sunnah-sunnah nabi seperti Syamail Tarmizi. Cari juga buku-buku moitivasi agama agar setiap hari kita menjadi lebih baik dan lebih baik.
Pun tak salah kalau membeli novel dan komik lebih-lebih lagi kalau novel dan komik itu novel dan komik yang boleh memberi input dan motivasi diri. Orang kita sahaja suka mengkategorikan novel dan komik sebagai bahan bacaan picisan. Sedangkan ada sahaja komik dan novel yang mengangkat hal-hal yang serius seperti perbincangan tentang ekonomi, politik dan sebagainya lagi. Ada jugakan komik-komik yang menjadikan profesion profesional sebagai tunjang cerita seperti komik tentang bomba, doktor dan lain-lain.

Kepada mereka yang selama ini hanya biasa membaca buku teks sahaja, inilah peluang untuk cuba membaca buku-buku lain pula. Bukan rugi pun. Orang sudah memberi RM200 pada kita percuma.  Ada beberapa kedai buka, punyalah nak memberi peluang dan kemudahan kepada pelajar, sampai sanggup teria baucer untuk membeli alatulis dan peralatan yang terdapat di kedai mereka.  Barulah ramai sikit yang menggunakan sendiri baucer yang diberikan.  Kalau tidak, dilelongnya baucer tu agaknya.

Kesian kepada usaha yang dirangkakan ini sebagai inisiatif untuk meringankan beban perbelanjaan pembelian buku pengajian. Selain daripada itu, inisiatif ini dijangka dapat memupuk minat membaca di kalangan rakyat Malaysia.

Pelajar yang layak menerima bantuan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) adalah terdiri daripada:
a)     Warganegara Malaysia;
b)     Lepasan SPM atau setaraf dengannya yang sedang melanjutkan pengajian di pusat matrikulasi/ tingkatan 6/ Politeknik/ institusi pengajian tinggi dalam bidang diploma, diploma lanjutan, ijazah, sarjana dan doktor falsafah;
c)      Sedang melanjutkan pengajian dan status aktif di pusat matrikulasi/ tingkatan 6/ institusi pengajian tinggi pada Januari 2012;
d)      Pelajar yang sedang melanjutkan pengajian secara sepenuh masa dan separa masa;
e)     Pelajar yang sedang mengikuti pengajian di bawah program kerjasama dan mendaftar di bawah anak syarikat IPT berkenaan;
f)      Menuntut di institusi pengajian di bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi atau diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia;
g)      Pelajar di Institusi Pendidikan Guru (IPG) di bawah program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) tidak layak menerima baucar ini kerana telah diberi elaun buku sebanyak RM600; dan
h)     Pelajar yang sedang mengikuti bidang Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) tidak layak menerima bantuan ini kerana pelatih KPLI adalah pelatih pra-perkhidmatan (telah diberi elaun).

Apa-apa pun , ianya bergantung kepada individu. Kemudahan telah diberi. Kepada para pelajar gunakanlah “Baucer Buku 1 Malaysia” sebaik mungkin. Bagi saya , pemberian “Baucer 1 Malaysia” telah dapat meringankan beban saya dalam mendapatkan bahan rujukan dan peralatan yang perlu dalam pengajian saya. Orang-orang tua pernah berkata “Rezeki jangan ditolak , musuh jangan dicari”
Bila kita dapat rezeki atau anugerah atau pemberian, Syukur , Alhamdulillah..... Terima kasih....
KAMPUNG KU SYURGA KU


 
              Seorang musafir, mungkin saudara.. mungkin juga rakan taulan, menjejakkan kakinya buat pertama kali di sebuah rancangan Felda.  Rumah yang dicari belum di temui, hanya berpandu kepada sekeping kertas bertulis alamat.  Anak-anak dah merengek kehausan.  Orang rumah di sebelah pun dah memuncung kerana lapar.  Nasib baik ternampak papan tanda dengan anak panah menunjukkan arah “Kawasan Perniagaan”.  Dalam hati berkata, bagus juga di kawasan Felda ni, penunjuk arahnya jelas.  Kenderaan dihalakan ke arah yang hendak di tuju... Perut perlu diisi, Kenyang perut.. Senang hati. 

            Betul ke ini rancangan Felda?  Tak percaya pula rasanya!  Sementara hendak tiba ke kawasan Medan Selera, kenderaan melalui kawasan perniagaan.  Empat blok kedai dua tingkat  tersusun megah.  Kawasan ini terletak di kawasan yang tinggi sedikit.  Di permukaan lereng tebing yang menghala  ke jalan besar, perkataan “Bersih & Indah” dibentuk rapi dengan tanaman renek berwarna hijau dan merah.  Pokok bunga menjalar berbagai warna di tanam di sekeliling perkataan itu.  Tanah dihamparkan dengan rumput permaidani yang nampaknya di jaga baik.  Lebih cantik lagi pokok pagar yang di potong kemas, ditanam di sepanjang tepi tebing kawasan perniagaan ini.  Dua buah pondok rehat setia menunggu kedatangan pengunjung yang ingin berhenti rehat melepas lelah selepas berurus niaga.  Pokok teduh berhampiran pondok rehat ini memberikan naungan teduhnya bagi mereka yang singgah.

            Tertarik pandangan mata ke arah papan tanda perniagaan pada setiap kedai, yang berwarna-warni.  Jelas dan sekata, masing-masing dengan keistimewaan tersendiri untuk menarik perhatian pelanggan.  Amboi... cantiknya!  Orang rumah di sebelah nampak tersenyum pula, jari telunjuknya dihalakan ke sebuah kedai menjual binatang peliharaan sambil rancak menerangkan sesuatu bercerita dengan tiga insan kecil yang tertawa riang..  Apa taknya, beberapa buah akuarium besar berisi ikan berwarna-warni menjadi tarikan pengunjung kawasan kedai ini.  Nanti lepas makan, kita singgah di kedai ni ya... janjinya pada anak-anak.

            Tak lekang mata dari pemandangan yang begitu bersih, teratur dan menarik.  Tapi... Perut perlu diisi dulu...  Wah.. kawasan Medan Seleranya tak mahu mengalah.  Setiap kedai dan gerai mempunyai identiti sendiri.  Ada yang berbumbung atap nipah, bertiang kayu teras, dihias pula ala-ala tradisional.  Sebuah perahu jalur, serawan jala dan beberapa peralatan menangkap ikan jadi hiasan antik.  Ada juga kedai yang bermain dengan warna untuk menarik pelanggannya.  Warna-warna lembut yang menampakkan suasana tenang seolah-olah memanggil mereka yang lalu.  Pendek kata, setiap kedai memang menarik dengan keistimewaan tersendiri.  Yang penting sekali.... semua kedainya bersih.

            Hati kecil berkata-kata, “Untungnya mereka yang dapat tinggal di rancangan Felda ni”.  Betul ke gambaran seperti ini ada di rancangan kita.  Bukan orang lain tapi kita sendiri yang dapat menjadikannya satu kenyataan. Kerjasama di antara pihak pengurusan, kepimpinan rancangan dan setiap ahli masyarakat sangat perlu untuk merealisasikan harapan ini.  Pengurusan telah menyalurkan sejumlah peruntukan untuk melengkapkan infrastruktur di rancangan.  Tanggungjawab membentuk perwajahan rancangan pula seeloknya dipikul oleh mereka yang akan bermastautin di rancangan tersebut iaitu pemimpin dan ahli masyarakat.  Bakat dan kebolehan di kalangan warga peneroka sendiri memang ada dan boleh digunakan untuk merancang  bukan hanya kawasan perniagaan tetapi seluruh kawasan kampung yang bersih, indah dan menarik.  Bergabung di bawah institusi JKKR, GPW dan Belia, setiap ahli masyarakat perlu memainkan peranan untuk menjadikan persekitaran rumah, kampung bahkan rancangan mereka sebuah kawasan contoh kepada masyarakat luar.  “Bulat Air kerana Pembetung, Bulat Manusia Kerana Muafakat, Bersatu Kita Teguh, bercerai kita Roboh, Peneroka Bersatu Felda Maju”......   

Thursday 26 April 2012

KESERONOKAN BEKERJA!!!



Sekarang kita berada dalam abad ke-21. Pada masa ini, dunia bergerak dengan penuh pesat. Semuanya cepat dan tangkas. Kos mesti dijimatkan, kerja pula ditambah-tambah. Semakin banyak masa ‘disedekahkan’ pada komitmen di tempat kerja. Overtime, outstation, mesyuarat, kursus, se-minar, konvensyen dan banyak lagi ‘alasan-alasan’ mesti berada di tempat kerja. Kerja sudah menjadi peratusan yang besar dalam hidup kita. Bangun pun kerja, tidur pun kerja, makan pun kerja, minum pun kerja, main pun kerja dan semuanya kerja!

Apabila sebahagian besar hidup kita diperuntukkan untuk kerja, kenapa kita perlu tertekan dengan kerja? Adakah kita perlu habiskan masa lapan sehingga dua belas jam sehari berada dalam keadaan stres dan murung? Tertekan dan tension? Adakah perlu begitu?

Itu tidak perlu! Kerana kita berhak 'seronok' di tempat kerja. Kitalah yang membuat pilihan sama ada hendak seronok di tempat kerja ataupun moyok di tempat kerja. Apabila kita seronok, kerja bukanlah satu beban. Tetapi sekiranya kita moyok, kita berisiko tinggi mendapat penyakit-penyakit kardiovaskular! Nauzibillah…

Apabila melakukan pekerjaan dengan tujuan seseorang itu akan membuat kerja penuh keseronokan, akhirnya kerja yang dilakukan menjadi sempurna dan menghasilkan kepuasan diri. Pakar perancang kewangan di Amerika, Robert Kiyosaki, menulis dalam bukunya Rich Dad Poor Dad; “Apabila kita melakukan kerja yang kita paling suka, ia adalah satu percutian menyeronokkan, sebaliknya jika kita melakukan kerja yang kita tidak gemari ia adalah satu beban kerja yang membosankan dan tidak membawa kebahagiaan.”

Langkah yang perlu dilakukan ialah merancang dan merencana secara sistematik. Matlamat jangka panjang dibahagikan kepada beberapa perancangan untuk matlamat jangka pendek. Pastikan matlamat serta tujuan dapat dicapai dan berpijak di bumi nyata. Selepas itu ambil langkah yang perlu dipatuhi.

Allah berfirman yang bermaksud: “Hai orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah. Hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah dilakukannya sebagai persediaan untuk hari esok. Bertakwalah kepada Allah. Sungguh, Allah mengetahui apa yang kamu lakukan.” – (Surah Al Hasyr, ayat 18).

Bila saya menyebut mengenai keseronokan bekerja,mungkin ada yang berasa pelik atau semacam tak masuk akal. Ialah bagaimana kita boleh berseronok dengan kerja,sedangkan’ kerja itu adalah kerja’. Bagaimanapun,setuju atau tidak kenyataannya sebahagian hidup kita banyak dihabiskan ditempat kerja ,dimeja kita,dikalangan rakan-rakan sekerja kita,berhadapan dengan bos kita.Walau apa pun,hakikatnya kita mesti bekerja walau dengan siapa,kerja apa sekalipun dimana saja,untuk menyara kehidupan keluarga kita kalau tak pun untuk diri kita,kerana itu sudah menjadi tanggungjawab kita..betul tak?..

Jadi,bayangkanlah.bagaimana keadaannya sekiranya kita tidak seronok dengan kerja kita.Ini bermakna kita terpaksa mengheret diri kita ke tempat kerja dan menghabiskan sebahagian besar kehidupan kita dengan penuh rasa bosan,malas dan bersungut sepanjang hari sehinggalah tamat waktu kerja dan pulang kerumah, barulah tersenyum dan terasa bersemangat!.

Dr Fadzilah Kamsah memberi 5 sebab mengapa orang tak ceria di tempat kerja, antaranya :
  • mereka tak nampak perlunya keceriaan dan keseronokan di tempat kerja, hanya kerja, kerja dan buat kerja!
  • kebanyakan orang jarang berdoa untuk menjadi seronok di tempat kerja
  • mood yang bertukar-tukar, tak terkawal dan asyik dilanda ‘bad mood’. Kita kena kawal mood, supaya keceriaan dan keseronokan bekerja sentiasa ada.
  • suasana kerja yang memboringkan, masalah-masalah peribadi terbawa ke tempat kerja sehingga tenggelamnya rasa seronok bekerja.
  • kurang sihat, fizikal dan mental.

Agaknya bagaimanalah hasil kerja yang di kendalikan oleh orang-orang yang tak de semangat untuk bekerja ni?.Ternyata sekali,kurangnya semangat bekerja akan menyebabkan timbulnya kualiti yang rendah, produktiviti yang menurun dan mutu perkhidmatan yang tidak memuaskan. Kunci kepada semua kejayaan, produktiviti, kenaikan pangkat dan gaji yang lumayan sesungguhnya bergantung kepada minat, kesungguhan dalam melakukan kerja dan disertai dengan sikap seronok bekerja.
Oleh kerana terlalu seronok bekerja adakalanya kita tak sedar masa dah tamat. Orang beginilah yang akan menikmati kepuasan bekerja dan biasanya, ganjarannya ialah pangkat yang tinggi dan gaji yang lumayan serta dipandang tinggi olih masyarakat.. Anda perlu tahu, jika kita seronok berkerja, badan kita akan terasa sihat, muka kita akan bertambah berseri, kerja dengan lebih produktif, otak kita bertambah kreatif, lebih banyak kawan dan kita punya aura pun lebih besar. Kita mempunyai tiga lapisan aura, lapisan pertama ialah aura kesihatan, lapisan kedua ialah aura keceriaan, dan aura terakhir ialah keimanan. Jadi aura-aura ini makin tebal jika kita ceria, kita juga akan lebih bahagia dan secara umumnya akan lebih positif.

Kepuasan kerja boleh dicipta, dan ia tidak seharusnya berorientasikan faktor-faktor tertentu sahaja. Mungkin kerana terlalu memikirkan rasa tidak seronok terhadap satu-satu elemen, maka kita mengabaikan elemen lain yang besar pengaruhnya dalam membuat kita gembira di tempat kerja.  Kita perlu mewujudkan perasaan seronok untuk ke tempat kerja kerana satu pertiga daripada masa dalam kehidupan kita banyak dihabiskan di situ. Itu sebabnya bila tidak seronok bekerja, maka diri kita mencari jalan penyelesaian yang tidak tepat dan menjejaskan produktiviti.   Bila kita seronok bekerja, kita akan :
  • sihat mental dan fizikal
  • mempamerkan air muka yang sangat-sangat ceria
  • lebih produktif
  • menjadi lebih kreatif
  • senang berkawan, aura keseronokan memancar pada orang lain
  • jadi lebih positif

Banyak usaha yang boleh dipraktikkan untuk mewujudkan kepuasan kerja. Jika suasana tempat kerja tidak selesa seperti keadaan meja yang berselerak dan merimaskan, berusahalah menjadikan menarik dan teratur. Jika selama ini komunikasi dengan rakan sekerja atau pihak pengurus menjadi faktor ketidakpuasan kerja, maka ubahlah cara berkomunikasi seperti memohon maaf, bersifat terbuka dan tidak terlalu sensitif. Banyak kesan positif yang boleh diperoleh jika kita bijak mewujudkan apa yang dikatakan kepuasan dalam bekerja. Kepuasan kerja mampu mewujudkan sifat integriti kerana setiap tugasan yang perlu dibuat dianggap sebagai amanah dan kepercayaan oleh organisasi.  Dengan itu, produktiviti kerja akan dapat dikekalkan pada tahap yang tinggi dan seterusnya menyumbang kepada kemajuan organisasi khususnya dan pembangunan negara amnya.

Selain niat untuk mencari keseronokan bekerja, ada satu lagi niat yang kita boleh gunakan untuk membangkitkan keseronokan bekerja. Niatkan rezeki dari hasil kerja kita tu kita dedikasikan untuk orang-orang yang kita sayangi – ibu kita, bapa kita, pasangan hidup kita.
  • Cinta adalah emosi positif yang paling kuat kuasanya.
  • Sebelum anda melangkah keluar dari rumah menuju ke tempat kerja, tatap wajah orang yang anda sayangi lalu hadirkan rasa cinta di hati. Dedikasikan kerajinan anda bekerja hanya untuk si dia. Anda akan rasa seolah-olah hati anda berbunga-bunga, tenang, gembira, ceria.
  • Penuhkan hati dengan cinta dan kita akan bersemangat jadinya. Selepas itu apa jua yang kita lakukan, kita akan buat dengan penuh bersemangat.
  • Cara lain, tatap gambar orang yang nda asayangi berkali-kali ketika sedang bekerja, sebagai pencetus semangat buat diri anda.

Dari sudut kerohanian pula, kita boleh merasai kepuasan bekerja apabila kita bekerja dengan ikhlas dan bekera kerana Allah.  Ini boleh dilakukan dengan menganggap kerja sebagai ibadah. Tujuan manusia dicipta oleh Allah SWT dinyatakan oleh Al Quraan dalam Surah Az Zariat ayat 57, bermaksud “Tidak Ku jadikan jenis makhluk jin dan manusia melainkan untuk beribadat pada Ku semata.” Manusia yang bertugas sebagai guru menghabiskan sebahagian besar masa sehariannya melaksanakan tugas mengajar dan kerja-kerja pengurusan yang berkaitan. Alangkah malang kehidupan sebagai guru kalau kerja yang dibuat seharian tidak dapat diiktiraf menjadi ibadah. Lagi malang bagi seseorang guru sekiranya ia menganggap kerja yang dibuat seharian sebagai beban.

Syarat sesuatu kerja dapat dijadikan ibadah telah diterangkan oleh Prof. Dr. Yusof Al-Qardhawi (1978). Terdapat lima syarat sesuatu kerja atau amal itu boleh menjadi ibadat. Syarat-syarat itu ialah:-
Pertama: Amalan yang dikerjakan itu diakui Islam, sesuai dengan hukum-hukum syariah dan tidak bercanggah dengan hukum-hukum tersebut. Adapun kerja sebagai guru sangat diperlukan oleh Islam. Bersabda Rasulullah SAW, bermaksud, “Bahawasanya Allah SWT, malaikat-malaikatNya, isi langit dan bumiNya, sampai kepada semut di dalam lubang dan ikan di dalam laut, semuanya berdoa kebajikan kepada orang yang mengajarkan manusia (iaitu guru).” (Tarmizi dari Abi Amamah)
Kedua: Amalan-amalan itu dikerjakan dengan niat yang baik sebagai seorang muslim bagi memelihara kehormatan dirinya, bagi menyenangkan keluarganya, bagi manfaat umatnya dan bagi memakmurkan bumi Allah SWT sebagaimana yang dianjurkan olehNya. Saya sebagai guru perlu merasa seronok dan bersemangat dalam melaksanakan amanah yang menjadi tugas tanggungjawab saya. Kerja dan amal seorang guru sememangnya menenuhi syarat kedua ini.
Ketiga: Amalan-amalan itu hendaklah dibuat seelok-eloknya bagi menepati kehendak hadis Rasulullah SAW, “Bahawa Allah suka apabila seseorang dari kamu membuat sesuatu kerja memperelokkan kerjanya.” (Al Baihaqi). Apabila sesuatu kerja itu dibuat seelok-eloknya maka lahirlah sikap positif terhadap tugas dan dapat menghasilkan perkhidmatan yang berkualiti.
Keempat: Ketika membuat kerja-kerja hendaklah sentiasa menurut hukum-hukum syariat dan batasnya, tidak menzalimi orang, tidak khianat, tidak menipu dan tidak menindas atau merampas hak orang. Syarat ini juga dapat menzahirkan seorang guru yang berbudi bahasa, sopan sanatun serta menjalankan tugas dengan adil dan amanah.
Kelima: Dalam mengerjakan amalan-amalan duniawi itu, seseorang tidak lalai dan tidak cuai dari melaksanakan ibadat khusus seperti sembahayang, puasa, zakat dan sebagainya. Seseorang yang mempunyai hubungan yang erat dengan Khalidnya akan menjadi insan yang mesra dengan pelanggannya dan dapat memberikan perkhidmatan yang berkualiti.

Oleh itu apabila seorang guru yang dapat menyempurnakan kelima-lima syarat yang dinyatakan di atas dalam mengendalikan segala pekerjaan dan urusan hidupnya setiap hari, ia adalah dikira sentiasa beribadat kepada Allah SWT meskipun dia tidak duduk di masjid atau di surau ketika membuat kerja-kerja itu. Kalau diperhatikan syarat ketiga memerlukan perbuatan seelok-eloknya dalam pelaksanaan kerja. Ini membawa maksud bahawa untuk memenuhi syarat menjadikan kerja itu ibadat, maka kerja itu (mengajar dan mengurus sekolah) hendaklah dibuat bersungguh-sungguh, penuh dedikasi, komited dan beriltizam. Kesimpulannya, dengan melaksanakan tugas-tugas guru yang memenuhi lima syarat di atas itu maka seseorang itu dikira telah berjaya melaksanakan amanah serta menghasilkan perkhidmatan berkualiti.

Oleh itu apabila seorang guru yang dapat menyempurnakan kelima-lima syarat yang dinyatakan di atas dalam mengendalikan segala pekerjaan dan urusan hidupnya setiap hari, ia adalah dikira sentiasa beribadat kepada Allah SWT meskipun dia tidak duduk di masjid atau di surau ketika membuat kerja-kerja itu. Kalau diperhatikan syarat ketiga memerlukan perbuatan seelok-eloknya dalam pelaksanaan kerja. Ini membawa maksud bahawa untuk memenuhi syarat menjadikan Kesimpulannya, keseronokan bekerja bukan hanya boleh di capai jika darinya kita mendapat kemewahan atau lebih mudah, jika kita mendapat gaji yang tinggi, tapi ianya juga boleh dicapai sekiranya kita dapat mencapai kepuasan dari kerja yang daoat dilaksanakan dengan baik dan sempurna.

Liza Othman
Kuala Lumpur

Tuesday 24 April 2012

KESELAMATAN KITA TANGGUNG JAWAB KITA BERSAMA....




Memetik kata Y.Bhg. Dato’ Dzulkifli Abd. Wahab, Pengarah Besar FELDA semasa merasmikan penutupan Kursus Asas Unit Sukarelawan Kawalan Keselamatan FELDA di Pusat Latihan Polis Bantuan Felda Bukit, Rokan, Gemencheh, Negeri Sembilan pada 3 Jun 2011, “...... Sesuai dengan NKRA negara untuk menurunkan kadar jenayah di negara ini, kita sambut seruan ini dengan mewujudkan pasukan kawalan ini bagi membantu usaha menurunkan kadar jenayah di dalam rancangan.....”. 

            Selari dengan Teras Pertama FELDA iaitu Masyarakat Warga FELDA  Menjadi Warga Contoh Luar Bandar, pasukan ini ditubuhkan di bawah program gated community sebagai Model atau Contoh Unit Kawalan Keselamatan yang diuruskan secara tersusun dan berstruktur yang mempunyai kualiti yang tinggi sebagai contoh kepada masyarakat luar bandar yang lain. Program gated community bertujuan untuk memastikan keselamatan masyarakat di tanah rancangan terkawal dari gejala tidak baik sama ada dari luar bahu pun dari dalam rancangan.  Tanggung jawab ini perlu dipikul bersama oleh masyarakat sendiri.  

Ahli masyarakat yang terpilih menjadi anggota pasukan ini diberi latihan kemahiran melalui kursus asas sebagai persediaan untuk menjalankan tugas.  Kursus Siri 1/2011 telah diadakan selama 6 hari dari 29 Mei hingga 3 Jun 2011 dengan dihadiri oleh 180 orang peserta.  Setiap Wilayah telah diminta menghantar 20 orang peserta dari satu rancangan sebagai pilot project wilayah berkenaan.  Melalui kursus ini, setiap anggota di latih dengan cara-cara yang betul mengendalikan kaedah keselamatan.  Peserta-peserta telah didedahkan dengn kemahiran seni mempertahankan diri, latihan kawad, latihan kawalan keselamtan, cara-cara menggunakan alat komunikasi, penyediaan roster kerja/laporan dan ceramah dari pihak-pihak berkaitan iaitu PDRM, AADK, BTN dan Polis Bahagian Trafik.

Pada 7 Julai 2011, Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia telah melancarkan Program Gated Community dan pasukan ini sempena sambutan Hari Peneroka FELDA 2011.  Oleh itu, setiap unit telah membuat persediaan dengan latihan kemahiran yang telah didapati melalui kursus asas.  Selain itu setiap unit dibekalkan dengan kenderaan untuk membuat rondaan, walkie talkie, cota dan pakaian seragam Skuad Waja untuk setiap anggota unit yang perlu digunakan semasa menjalankan tugas.  Anggota pasukan ini juga telah diberi latihan tambahan seperti pertolongan cemas, latihan bomba sukarelawan dan sebagainya dari pihak-pihak seperti Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Bomba & Penyelamat.

            Mereka yang menjadi anggota pasukan ini menjadi mata dan telinga bagi pasukan keselamatan untuk memberi maklumat tentang jenayah yang berlaku di rancangan.  Pasukan ini di harap dapat memberi sumbangan dalam menjaga keselamatan dan kebajikan serta menjadi contoh terbaik ahli sukarelawan di rancangan FELDA.  Selain itu, semua pihak termasuk pemimpin dan ahli masyarakat perlu sama-sama memainkan peranan yang aktif di dalam menjayakan program gated community ini demi keselamatan masyarakat rancangan.

Liza Othman
Unit Majlis Sukan FELDA