Friday 27 April 2012

KAMPUNG KU SYURGA KU


 
              Seorang musafir, mungkin saudara.. mungkin juga rakan taulan, menjejakkan kakinya buat pertama kali di sebuah rancangan Felda.  Rumah yang dicari belum di temui, hanya berpandu kepada sekeping kertas bertulis alamat.  Anak-anak dah merengek kehausan.  Orang rumah di sebelah pun dah memuncung kerana lapar.  Nasib baik ternampak papan tanda dengan anak panah menunjukkan arah “Kawasan Perniagaan”.  Dalam hati berkata, bagus juga di kawasan Felda ni, penunjuk arahnya jelas.  Kenderaan dihalakan ke arah yang hendak di tuju... Perut perlu diisi, Kenyang perut.. Senang hati. 

            Betul ke ini rancangan Felda?  Tak percaya pula rasanya!  Sementara hendak tiba ke kawasan Medan Selera, kenderaan melalui kawasan perniagaan.  Empat blok kedai dua tingkat  tersusun megah.  Kawasan ini terletak di kawasan yang tinggi sedikit.  Di permukaan lereng tebing yang menghala  ke jalan besar, perkataan “Bersih & Indah” dibentuk rapi dengan tanaman renek berwarna hijau dan merah.  Pokok bunga menjalar berbagai warna di tanam di sekeliling perkataan itu.  Tanah dihamparkan dengan rumput permaidani yang nampaknya di jaga baik.  Lebih cantik lagi pokok pagar yang di potong kemas, ditanam di sepanjang tepi tebing kawasan perniagaan ini.  Dua buah pondok rehat setia menunggu kedatangan pengunjung yang ingin berhenti rehat melepas lelah selepas berurus niaga.  Pokok teduh berhampiran pondok rehat ini memberikan naungan teduhnya bagi mereka yang singgah.

            Tertarik pandangan mata ke arah papan tanda perniagaan pada setiap kedai, yang berwarna-warni.  Jelas dan sekata, masing-masing dengan keistimewaan tersendiri untuk menarik perhatian pelanggan.  Amboi... cantiknya!  Orang rumah di sebelah nampak tersenyum pula, jari telunjuknya dihalakan ke sebuah kedai menjual binatang peliharaan sambil rancak menerangkan sesuatu bercerita dengan tiga insan kecil yang tertawa riang..  Apa taknya, beberapa buah akuarium besar berisi ikan berwarna-warni menjadi tarikan pengunjung kawasan kedai ini.  Nanti lepas makan, kita singgah di kedai ni ya... janjinya pada anak-anak.

            Tak lekang mata dari pemandangan yang begitu bersih, teratur dan menarik.  Tapi... Perut perlu diisi dulu...  Wah.. kawasan Medan Seleranya tak mahu mengalah.  Setiap kedai dan gerai mempunyai identiti sendiri.  Ada yang berbumbung atap nipah, bertiang kayu teras, dihias pula ala-ala tradisional.  Sebuah perahu jalur, serawan jala dan beberapa peralatan menangkap ikan jadi hiasan antik.  Ada juga kedai yang bermain dengan warna untuk menarik pelanggannya.  Warna-warna lembut yang menampakkan suasana tenang seolah-olah memanggil mereka yang lalu.  Pendek kata, setiap kedai memang menarik dengan keistimewaan tersendiri.  Yang penting sekali.... semua kedainya bersih.

            Hati kecil berkata-kata, “Untungnya mereka yang dapat tinggal di rancangan Felda ni”.  Betul ke gambaran seperti ini ada di rancangan kita.  Bukan orang lain tapi kita sendiri yang dapat menjadikannya satu kenyataan. Kerjasama di antara pihak pengurusan, kepimpinan rancangan dan setiap ahli masyarakat sangat perlu untuk merealisasikan harapan ini.  Pengurusan telah menyalurkan sejumlah peruntukan untuk melengkapkan infrastruktur di rancangan.  Tanggungjawab membentuk perwajahan rancangan pula seeloknya dipikul oleh mereka yang akan bermastautin di rancangan tersebut iaitu pemimpin dan ahli masyarakat.  Bakat dan kebolehan di kalangan warga peneroka sendiri memang ada dan boleh digunakan untuk merancang  bukan hanya kawasan perniagaan tetapi seluruh kawasan kampung yang bersih, indah dan menarik.  Bergabung di bawah institusi JKKR, GPW dan Belia, setiap ahli masyarakat perlu memainkan peranan untuk menjadikan persekitaran rumah, kampung bahkan rancangan mereka sebuah kawasan contoh kepada masyarakat luar.  “Bulat Air kerana Pembetung, Bulat Manusia Kerana Muafakat, Bersatu Kita Teguh, bercerai kita Roboh, Peneroka Bersatu Felda Maju”......   

No comments:

Post a Comment